September 30, 2010

Nenek pulang beli makanan terkejut cucu dilarikan

RAUB: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dilaporkan hilang sejak Selasa lalu dipercayai dilarikan ‘ibu saudaranya’ yang juga seorang warga asing di rumah neneknya di Kampung Sempalit, Raub, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang berlaku apabila nenek berkenaan, Leong Sai Yong, 57, didatangi seorang wanita yang memperkenalkan dirinya ibu saudara cucunya itu.

Anak Leong berkahwin dengan seorang warga Indonesia beberapa tahun lalu sebelum berpisah secara baik setahun lalu dan hak penjagaan diberikan kepada bapa kanak-kanak berkenaan.

Difahamkan, wanita warga Indonesia terbabit yang berusia awal 30-an datang ke rumah berkenaan kononnya untuk menjenguk kanak-kanak berkenaan. Ini kerana ibu kanak-kanak itu sudah berpisah dengan bapanya sejak setahun lalu.

Sai Yong ketika menceritakan semula kejadian itu berkata, sebelum itu dia dan cucunya, Lee Xin Ru berbaring di dalam rumah. “Tiba-tiba kami didatangi seorang wanita yang memperkenal dirinya ibu saudara Xin Ru. Saya yang tidak pernah berjumpanya sebelum ini mempercayainya dan menjemputnya masuk ke rumah,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit mengadu sangat lapar.

“Timbul rasa kasihan kepada wanita itu, saya pun minta diri sekejap mahu keluar untuk membeli makanan di kedai bersebelahan,” katanya.

Namun, setibanya di rumah, dia mendapati cucunya dan wanita terbabit sudah tiada. Malah, pakaian cucunya turut dibawa bersama.

“Saya syak wanita itu berpura-pura datang kononnya mahu menjenguk saya, rupa-rupanya dia mahu melarikan Xin Ru,” katanya. Katanya, ketika mencari cucunya itu dia ternampak kelibat mereka menaiki sebuah teksi, tetapi tidak diketahui nombor pendaftarannya. Menurutnya, dia bergegas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, di sini.

“Saya turut menghubungi bapa Xin Ru yang ketika itu berada di Johor untuk memaklumkan mengenai kehilangan anaknya,” katanya. Menurutnya, anak lelakinya dan bekas menantu tidak mempunyai sebarang masalah, malah mereka berpisah secara baik lantaran tiada persefahaman.

“Hari ini sudah sembilan hari Xin Ru hilang, saya risaukan keadaan keselamatan dan kesihatannya. Saya merayu sesiapa yang mengambilnya supaya memulangkannya semula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman mengesahkan menerima laporan kehilangan kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya, ketika Xin Ru dibawa lari, dia memakai baju-T berwarna putih, bertali oren dan berseluar pendek biru muda. Malah, dia mempunyai tanda hitam sejak lahir di kelopak mata kanan dan berkulit sawo matang.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak ini supaya menghubungi Inspektor Haroza Pandi di talian 019-8793776 atau IPD Raub di talian 09-3552222,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

myMetro
30 Sep 2010

0 comments:

Post a Comment