September 29, 2010

Lelaki curi barang kemas ibu saudara dijel tiga tahun

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri barang kemas milik ibu saudaranya bulan lalu, seorang pekerja kedai memproses ayam dikenakan hukuman tiga tahun penjara dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir mengenakan hukuman itu selepas Sidieq Haqim Abu Bakar, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Abdullah Siddiq memerintahkan hukuman berjalan daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 12 September lalu dan memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Turut hadir pada prosiding semalam adalah keluarga tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri satu beg hijau mengandungi satu set barang kemas batu delima berikat emas dan permata mengandungi seutas rantai tangan, sebentuk cincin, sebentuk loket dan sepasang subang dan seutas jam tangan jenama Citizen dan tiga cincin dan wang tunai RM50 yang keseluruhan bernilai RM3,500 milik Saliha@Rogayah Mohd Nasir, 69.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No 2M Kampung Chempedak, Sentul, di sini, pada jam 7 malam, 22 Ogos lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman lima tahun penjara dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.

myMetro
29 Sep 2010

0 comments:

Post a Comment