September 30, 2010

Amah ditemui berlumuran darah

KUCHING: Seorang pembantu rumah Indonesia ditemui cedera parah akibat tetakan di kepala, berdekatan pagar rumah majikannya di Jalan Keranji, Tabuan Desa di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Habibah Adam, 46, yang mula bekerja kira-kira dua bulan di negara ini, ditemui orang ramai dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri dengan kepala serta mukanya berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, berkata jiran yang melihat keadaan mangsa menghubungi majikannya yang berada di tempat kerja sebelum majikan terbabit menghubungi polis.

Berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian hanya seorang wanita berusia 75 tahun iaitu ibu kepada majikan mangsa berada di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan dan kita percaya ada seorang individu lain terbabit dalam kes ini.

Kita juga tidak menolak kemungkinan mangsa cuba dirompak pihak luar atau mungkin cuba membunuh diri atau mempunyai tekanan perasaan sehingga mendorong bertindak mencederakan dirinya," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, mangsa yang diambil bekerja oleh majikan yang berusia kira-kira 30-an itu untuk menjaga ibunya yang menghidapi penyakit Alzheimer dan tidak mampu menguruskan diri sendiri, selain menjaga rumah.

Kock Keong berkata, mangsa yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Umum Sarawak (HUS) berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri berikutan kecederaan serius.

Berita Harian
30 Sep 2010

0 comments:

Post a Comment