2MM

TERIMA KASIH

Pembantu rumah didera

TERIMA RAWATAN: Kakitangan perubatan merawat Sulasti yang mengalami kecederaan serius setelah didera oleh majikannya.

Polis selamatkan amah Indonesia parah akibat didera oleh majikannya

SIBU: Polis menyerbu sebuah rumah kedai di Jalan Kapua di sini petang semalam dan menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang cedera parah dipercayai telah didera dengan teruk oleh majikannya.

Sepasukan anggota polis dari Balai Sungai Merah bertindak menyerbu rumah kedai terbabit pada jam 1 petang, setelah menerima aduan daripada Konsulat Jeneral Republik Indonesia pada jam 11 pagi bahawa seorang pembantu rumah warga Indonesia telah didera dan dikurung di dalam bilik di sebuah rumah kedai itu.

Polis kemudian menahan seorang suri rumah yang dipercayai majikan pembantu rumah berkenaan kerana disyaki bertanggungjawab mencederakan mangsa.

SUSPEK (yang berbaju putih), yang disyaki mendera pembantu rumahnya

Pemangku Ketua Polis Sibu Superintenden Zamani Hamdan mengesahkan tangkapan tersebut yang akan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanan Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Majikan terbabit pada mulanya enggan membenarkan polis memasuki rumahnya, tetapi polis tiada pilihan selain memberi amaran untuk membuka pintu rumahnya secara paksa.

Apabila ditanya polis, majikan terbabit juga menafikan yang dia telah mendera pembantu rumah dan tidak mahu bercakap banyak.

Ketika pemeriksaan di dalam rumah itu, polis menemui pembantu rumah yang cedera bernama Sulasti dari Jakarta dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Mangsa yang berusia 21 tahun itu ditemui di dalam sebuah bilik dalam keadaan cedera dan tidak mampu berjalan disebabkan kecederaan yang dialaminya.

Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan muka, manakala badannya mempunyai bekas-bekas luka dipercayai dipukul dengan benda tumpul dan juga bekas lecur. Mulutnya juga berdarah semasa polis menemuinya.

Pembantu rumah itu juga didapati kelaparan dipercayai tidak diberi makan dan minum.

Suami suspek juga ditahan - Gambar The Borneo Post 15 Aug 2010

Polis percaya mangsa telah dicederakan oleh suspek sejak lebih enam bulan lamanya mengikut keadaan kesan luka yang terdapat pada tubuhnya.

“Majikan saya telah memukul saya dengan tangan, kaki, kayu, rotan dan besi,” adu Sulasti kepada polis sambil menambah bahawa dia telah bekerja dengan majikannya itu kira-kira tiga bulan.

Sulasti telah dihantar ke Hospital Sibu pada jam 1.30 petang kelmarin untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu, suspek telah ditahan dan akan direman hari ini (Sabtu).

Utusan
14 Ogos 2010


Gadis didera

MALANG... gadis Indonesia dikatakan didera sehingga parah di Sibu, semalam.

SIBU: Keengganan seorang suri rumah membuka pintu walaupun diketuk berulang kali oleh sepasukan anggota polis terjawab apabila menemui pembantu rumah berkenaan dalam keadaan menyedihkan dipercayai didera.

Dalam kejadian di Jalan Kapua, di sini, kira-kira 11 pagi kelmarin, sepasukan anggota polis bergegas ke rumah kedai berkenaan selepas mendapat maklumat satu kes penderaan dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia.

Sebaik berjaya memasuki rumah terbabit, polis menemui seorang gadis warga Indonesia berusia 21 tahun berada dalam keadaan cedera dan kelaparan di dalam sebuah bilik, dipercayai didera sejak enam bulan lalu.

Pemeriksaan juga mendapati gadis itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan dipercayai memasuki negara ini sejak beberapa bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Zamani Hamdan berkata, susulan penemuan gadis itu, polis menahan suri rumah dipercayai majikannya bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Katanya, suami wanita berkenaan turut ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam dan akan direman enam hari.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan muka manakala terdapat parut di belakangnya dipercayai kesan akibat penderaan yang dilakukan sebelum ini.

Ketika ditemui, mulut mangsa juga kelihatan berdarah selain berada dalam keadaan kelaparan dipercayai tidak diberi sebarang makanan sejak beberapa hari lalu.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan manakala suspek direman bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, Harian Metro difahamkan, jiran mangsa sering terdengar bunyi jeritan hampir setiap malam dari rumah kedai terbabit dipercayai angkara suri rumah dan suaminya yang kerap mendera gadis Indonesia itu.

myMetro
15 Ogos 2010

No comments:

Post a Comment