July 31, 2010

Tiga adik beradik tiada sijil lahir

KAMPUNG PERIK - Masalah yang dihadapi menyukarkan tiga beradik berusia empat hingga 11 tahun untuk mendapatkan sijil kelahiran, walaupun pelbagai usaha dilakukan ibu mereka.

Si ibu, Roshida Rajami, 36, berkata, dalam kesulitan menguruskan perkara itu, seorang lagi anaknya Mohd Ridzuan Shamsudin, 1 tahun 9 bulan disahkan mengidap jantung berlubang dan masalah saluran pernafasan sempit.

Menurutnya, empat beradik itu adalah daripada bapa berlainan, yang mana perkahwinan sebelum ini menemui kegagalan, namun tetap berusaha walaupun akhirnya menemui jalan buntu.

“Anak ketiga daripada suami pertama, Nur Fatihah Md Rashid, 11, bersekolah di Tahun Lima, Sekolah Kebangsaan Perik masih tidak mempunyai sijil kelahiran kerana saya gagal mendapatkannya walaupun terpaksa turun naik ke Pejabat Pendaftaran Negara sebelum ini.

“Saya cuba mendapatkan sijil kelahiran anak saya ketika selesai tempoh berpantang, tetapi tidak berjaya kerana Jabatan Pendaftaran Negara, Alor Setar mahu waris anak saya sendiri yang menyelesaikan sijil kelahiran. Bapa mereka tidak pernah mengambil tahu hal mereka walaupun berulang kali saya memberitahu supaya menyelesaikan perkara penting ini ,” katanya kepada Sinar Harian sewaktu lawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, Badrul Hisham Hashim, kelmarin.

Roshida berkata, kini dia tidak tahu di mana bapa kepada anaknya berada, kerana dia menghilangkan diri tanpa khabar berita.

Menurutnya, dua anaknya dari suami kedua, Anis Maisara Saad, 7, dan Mohd Azriq Saad, 4, bagaimanapun tidak dapat didaftarkan berikutan timbulnya pertikaian mengenai status perkahwinannya.

“Saya dan bapa mereka berkahwin di Thailand dan disebabkan tiada sebarang dokumen, kami tidak dapat membuktikan ikatan kami sekali gus dianggap tidak sah.

“Selepas itu, kami tidak berusaha mendapatkan sijil kelahiran dua anak saya manakala bapa mereka pula meninggal dunia dalam satu insiden pergaduhan di Padang Sera kira-kira tiga tahun lalu,” katanya.

Roshida berkata, dia bimbang masalah itu sukar diatasi dan anaknya pula semakin membesar.

Menurutnya, pendapatan suami ketiga yang juga bapa kepada Mohd Ridzuan hanya RM800 sebulan.

Dengan pendapatan itu, suaminya menampung perbelanjaan keluarga termasuk perbelanjaan persekolahan dan keperluan lain.

Roshida berkata, masalah sijil kelahiran menyebabkan dua anaknya yang bersekolah tidak mendapat kemudahan dari segi bantuan persekolahan, kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Kos pembedahan RM45,000

Selain masalah sijil kelahiran anak, keluarga ini juga berdepan dengan kos rawatan Mohd Ridzuan yang dijangka menjalani pembedahan pada Januari tahun depan.

Roshida berkata, anaknya memerlukan rawatan setiap enam bulan sekali atau ketika keadaan memerlukan.

“Setiap kali rawatan dibuat, sekurang-kurangnya saya perlu menyediakan RM250 dan terpaksa berulang alik ke Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Menurutnya, rawatan susulan kadang-kala perlu dijalani di Hospital Sultanah Bahiyah bagi mengetahui perkembangan penyakit anaknya.

Menurutnya, kos rawatan pembedahan masih menjadi tanda tanya, namun pihak IJN memberi jumlah kasar yang perlu disediakan iaitu sekitar RM45,000.

Keperitan hidup yang dialami keluarga ini mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKP) Kampung Perik.

Jefrisham Nayan berkata, beliau bersama Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, membantu keluarga itu dengan memberi sumbangan pada Mei lalu ketika program Ziarah UMNO.

Menurutnya, ketika lawatan itu, rombongan turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Padang Terap, bagi membantu mengatasi masalah kemiskinan keluarga itu. Namun, sehingga kini tiada sebarang perkembangan terhadap permohonan yang dibuat.

“Saya dan keluarga Roshida memberikan segala maklumat keluarga itu untuk tujuan pertimbangan sebarang bentuk bantuan. Namun, sehingga kini tiada seorang pun kakitangan jabatan berkenaan datang menziarahi mereka semula untuk tujuan bantuan dan sebagainya,” katanya.

Roshida berkata, dia sudah menghubungi pihak JKM dan bertanyakan status bantuan, tetapi kakitangan jabatan memaklumkan permohonan masih diproses.

“Saya juga pernah memohon waran perjalanan ketika mahu mendapatkan rawatan anak saya, tetapi gagal diperoleh sebaliknya terpaksa menggunakan wang sendiri walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan,” katanya.


GPMS jamin hulur bantuan

Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Nadzri Kamarulzaman yang berkunjung ke rumah keluarga itu memberi jaminan akan membantu keluarga berkenaan untuk mendapatkan sijil kelahiran dan bantuan sampingan.

Menurutnya, dokumen berkaitan merangkumi Borang Daftar Lewat Kelahiran diberikan kepada keluarga itu sekali gus dalam masa terdekat, borang akan diambil semula untuk tujuan pemprosesan bagi mendapatkan sijil kelahiran melalui Jabatan Pendaftaran Negara.

“GPMS mempunyai beberapa mekanisme untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat. Sebelum ini, kami membantu beberapa kes mendapatkan sijil kelahiran sekali gus membantu mendapatkan bantuan dari agensi kerajaan lain seperti JKM.

“Kami cuba menyelesaikan masalah ini dalam masa terdekat, bagi mengelakkan kesulitan terutamanya anak Roshida yang bersekolah di Tahun Lima, kerana pada tahun depan dia akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian
31 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment