July 5, 2010

Tangan kiri kena potong

KAJANG: Seorang pengawal keselamatan mati dalam keadaan mengerikan apabila dia bukan saja dilanggar sebanyak dua kali, malah tangan kirinya turut dipotong dipercayai angkara dendam dalam kejadian di Batu 9, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu berlaku apabila mangsa yang dikenali sebagai Letchumana berusia 30-an menaiki motosikal tiba-tiba dikejar dan dilanggar sebanyak dua kali oleh sebuah kereta sehingga terjatuh ke dalam cerun dipenuhi semak-samun berdekatan dengan sebuah sekolah, di sini.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, selepas melanggar mangsa, suspek memotong tangan kiri mangsa dipercayai menggunakan parang yang ditemui di dalam kereta itu.

“Saya percaya mangsa dibunuh bermotifkan dendam dan cukup mengenali orang yang membunuhnya itu. “Mungkin juga suspek lebih daripada seorang terbabit dalam kes ini, apa pun kami (polis) akan menjejaki individu terbabit kerana membunuh dengan niat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mohd Shakaruddin berkata, turut ditemui di tempat kejadian, sebuah kereta Proton Persona yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melanggar mangsa.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 30-an ditemui mati dengan tangan, kaki dan mulut diikat di sebuah flat Desa Serdang, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, menimbulkan tanda tanya penduduk yang menghidu bau busuk sehingga membuatkan mereka membuat laporan polis. Mohd Shakaruddin berkata, ketika polis tiba di rumah berkenaan, pintu rumah berkunci dari dalam dan polis terpaksa memecahkannya lebih 15 minit.

“Pada ruang tamu rumah mangsa, polis menemui mayat lelaki berkenaan yang tidak dapat dikenal pasti identitinya itu dipercayai sudah mati lebih tiga hari berdasarkan keadaan mayat yang berulat dan busuk,” katanya. Mohd Shakaruddin berkata, menurut maklumat penduduk, difahamkan mangsa tinggal seorang diri dan belum berkeluarga, manakala dia menolak dakwaan kemungkinan mangsa dirompak.

“Melihatkan keadaan rumah mangsa yang tidak berselerak dan tiada harta benda yang hilang, saya tidak rasa perbuatan perompak, namun siasatan rapi akan dijalankan untuk mengenalpasti identiti mangsa dan punca kematiannya,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

myMetro
5 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment