July 31, 2010

Remaja dipenjara tiga tahun kerana dadah

KOTA BHARU - Seorang remaja lelaki dari Jalan Tengku Puteri dekat sini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan memiliki dadah oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, kelmarin.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Nur Hamzief Fahmi Shafie, 19, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas tuduhan yang dihadapi.

Berdasarkan pertuduhan yang dihadapi, Nur Hamzief secara bersama tiga rakannya didakwa memiliki pil kuda seberat 8.96 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di tempat letak kereta surau Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini, kira-kira jam 4.45 petang, 22 Jun 2008.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan rotan tidak kurang dari tiga sebatan.

Berdasarkan laporan akhlak yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Nur Hamzief merupakan anak ketiga dari lima beradik dan kehilangan bapanya yang meninggal dunia semasa dia berumur 14 tahun.

Ibu Nur Hamzief bekerja sebagai seorang promoter di sebuah Pasar Raya dekat sini dan menyara keluarnya selepas kematian suaminya.

Nur Hamzief hanya mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga sahaja kerana tidak berminat dalam pelajaran dan dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah selepas berhenti sekolah.

Mengikut rekod JKM juga, kesalahan tersebut merupakan kesalahan pertama Nur Hamzief yang sebelum ini tidak mempunyai rekod lampau.

Nur Hamzief yang diwakili peguam Latifah Ariffin kemudiannya memohon kepada mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya itu.

“Semasa kejadian, Nur Hamzief berumur 17 tahun tujuh bulan dan merupakan juvana, tetapi sekarang dia berusia 19 tahun tujuh bulan dan merupakan pesalah muda.

“Berdasarkan pada laporan akhlak yang dikemukakan pihak JKM, keluarga Nur Hamzief bukanlah dari kalangan keluarga yang senang. Dia merupakan anak yatim dan hanya ibunya yang bekerja untuk menyara keluarga,” katanya.

Menurutnya, faktor tersebut sedikit sebanyak menyebabkan Nur Hamzief terlibat dengan kesalahan ini dan disebabkan masih lagi tidak matang sewaktu itu, dia dipercayai mudah terpengaruh dengan rakan-rakan.

“Nur Hamzief menyara hidupnya sendiri dengan melakukan pelbagai kerja kerana tidak mahu menyusahkan ibunya.

“Saya mohon mahkamah memberi peluang kepada Nur Hamzief untuk berubah dan membaiki dirinya,” katanya.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin kemudiannya memohon mahkamah mengenakan hukuman yang sewajarnya ke atas pesalah berkenaan.

“Kesalahan yang dilakukan Nur Hamzief merupakan kesalahan serius.

“Disebabkan dia masih di bawah umur sewaktu kejadian, hukuman yang dikenakan terhadapnya semestinya berbeza dengan tiga rakannya yang telah dijatuhkan hukuman sebelum ini,” katanya.

Azman semasa membacakan keputusan penghakimannya berkata, beliau mendapati Nur Hamzief sudah banyak berubah dan insaf sepanjang berada dalam tahanan reman.

“Saya rasa hukuman di Henry Gurney atau dipenjara sudah cukup memberi hukuman yang sesuai kepada kamu. Kalau kamu keluar sekarang, saya percaya kamu akan terlibat lagi dengan rakan kamu yang lama disebabkan cara kamu menyamar sebelum ini cukup berkesan dan berjaya menipu keluarga kamu,” katanya.

myMetro
31 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment