July 26, 2010

Mayat remaja mati lemas ditemui



Video - myMetro


KUALA LUMPUR: Mayat seorang remaja lelaki berumur 13 tahun yang lemas selepas tergelincir ke dalam sebuah parit besar berhampiran Kolam Kumbahan di Bandar Baru Sungai Buloh dekat sini petang semalam ditemui hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mayat Mohamad Amirul Shafie Zulkifli ditemui sepasukan anggota bomba dan penyelamat pada jam 12.30 tengah hari.

"Mangsa yang bermain bola bersama tiga lagi rakannya tergelincir apabila cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam parit itu petang semalam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, tiga lagi rakan mangsa cuba menyelamatkannya tetapi gagal dan hanya mampu melihat mangsa tenggelam sebelum menjerit meminta pertolongan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Mohd Nasir Abd Ghani berkata, operasi mencari dan menyelamat membabitkan anggota bomba dari balai bomba dan penyelamat Sungai Buloh, Shah Alam dan Petaling Jaya serta dibantu oleh anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Beliau berkata, mayat Mohamad Amirul dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.-Bernama

26 Jul 2010


Maut gara–gara bola

SUNGAI BULOH – Mayat pelajar Tingkatan 1 SMK Sungai Buloh, Muhammad Amirul Shafie Zulkifli, 13, yang lemas ditemui pasukan penyelamat jam 12.30 hari semalam 800 meter daripada tempatnya terjatuh.

Mayat ditemui tersangkut pada celah konkrit dan pasukan penyelamat mengambil masa setengah jam untuk membawa mayat mangsa keluar dari sungai.

Ketua Balai Bomba Sungai Buloh, Nasir Abdul Ghani berkata, anggotanya terpaksa memecahkan konkrit bagi membolehkan mangsa dibawa keluar.

"Mangsa dibawa arus deras dan tersangkut pada celah konkrit di dasar sungai,” katanya.

Seramai 45 anggota terdiri daripada bomba, polis, JPA 3 dan Majlis Bandaraya Shah Alam terlibat dalam operasi yang dimulakan sejak petang kelmarin.

Menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Zul, mangsa dikatakan tergelincir setelah cuba mengambil bola yang terapung di dalam longkang.

"Ada dua biji bola, satu dia sempat kaut dan campak ke darat. Bagaimanapun, ketika cuba hendak mengambil satu biji bola lagi dia tergelincir,” katanya.

Beberapa saksi turut melihat tangan mangsa terkapai-kapai selama beberapa minit sebelum hilang dibawa arus deras.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kes sebagai mati mengejut.

"Mangsa mati akibat lemas dan kita masih menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Ir Muhammad Bushro Mat Johor yang hadir turut menghulurkan sumbangan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Turut hadir melawat keluarga mangsa, Ketua Angkatan Muda Keadilan Subang, Muhammad Najmi Samsudin dan Yang diPertua Pas Kawasan Subang Mesni Dahalan.

Sinar Harian
27 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment