July 2, 2010

Isteri dipijak, dipukul suami

MUAR 1 Julai - Seorang wanita berusia 32 tahun menjadi mangsa keganasan rumah tangga apabila dipukul berulang kali dan dipijak oleh suaminya di sebuah rumah di Jalan Daud di sini pada 24 Jun lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, suami wanita berkenaan yang berusia 33 tahun turut mengambil gunting untuk memotong rambut isterinya sambil mengugut dengan kata-kata 'aku bunuh kau, baru tahu'.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mangsa yang baru tiba di rumah selepas pulang bekerja diserang oleh suaminya akibat perselisihan faham.

"Suami mangsa yang tidak bekerja itu bertindak mengunci pintu rumah dan berlaku perbalahan sebelum mangsa ditarik ke bahagian dapur.

"Selain memukul isterinya dengan teruk, suspek turut memijak isterinya dan memotong rambut wanita itu dengan gunting," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohamad Nasir, selepas kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan suspek berjaya diberkas pada hari yang sama.

"Suspek kini ditahan reman dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Polis tidak akan campur tangan dalam urusan perceraian tetapi kita tidak akan bertoleransi terhadap keganasan rumah tangga.

"Selain itu, kami turut menahan suspek mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan kes samun yang berasingan," katanya.

Katanya, sehari sebelum kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai kerani itu ada membuat laporan polis kerana ditumbuk suaminya.

Utusan
1 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment