July 26, 2010

Anggota Paskau terbunuh payung terjun gagal berfungsi ketika latihan


NORANIZA Zakaria (tengah) tidak dapat menahan kesedihan sewaktu jenazah suaminya, Hasnizam Ab. Wahid (gambar kecil) dibawa ke rumah mertuanya di Jalan Peserai Kecil, Simpang Lima, Batu Pahat, Johor awal pagi tadi, 27 Julai. - Utusan/HAMDAN TAWADI

BESUT: Seorang anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Kem Jugra, Banting, Selangor terbunuh apabila payung terjun yang digunakannya semasa latihan di Pangkalan Udara TUDM, Gong Kedak di sini hari ini gagal berfungsi.

Anggota berkenaan, Laskar Udara Kanan Hasnizam Ab Wahid, 25, yang berasal dari Batu Pahat, Johor, cedera parah setelah terjatuh ketika menjalani Kursus Terjun Statik Tempur Siri 1/2010 di Pangkalan Udara Gong Kedak.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berhubung perkara itu, berkata kejadian berlaku jam 1.59 tengah hari.

Allahyarham disahkan meninggal dunia jam 3.59 petang ketika dirawat di Hospital Daerah Besut.

Jenazah akan diterbangkan menggunakan pesawat CH130 dari Pangkalan Udara Gong Kedak pada jam 7 petang ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan sebelum dibawa ke Simpang Lima, Batu Pahat untuk disemadikan.-Bernama

26 Jul 2010


Anggota Paskau Sempat Beli Baju Raya Untuk Ibu, Isteri

BATU PAHAT: Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Laskar Udara Kanan Hasnizam Ab Wahid, yang terbunuh selepas payung terjunnya gagal berfungsi semasa latihan, sempat membelikan baju raya untuk ibunya.

Ibunya, Nik Hasnah Nik Yeh, 47, yang ditemui di rumahnya di Jalan Peserai Kecil, Simpang Lima, di sini, berkata Hasnizam atau lebih dikenali sebagai Angah membelikan sepasang kain itu ketika sambutan hari jadinya pada 3 Mac lepas.

"Angah belikan kain ini semasa hari jadi mak cik untuk dipakai semasa hari raya ini, tetapi nampaknya dia tidak sempat untuk melihat mak cik memakainya" kata suri rumah itu.

Katanya Hasnizam,25, juga turut membelikan kain jenis dan warna yang sama untuk isterinya Noraniza Zakaria, 22, dan adik beradik perempuan lain.

Anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) TUDM itu terbunuh selepas payung terjun yang digunakannya gagal berfungsi semasa latihan di Pangkalan Udara TUDM, Gong Kedak, dekat Besut, Terengganu, Isnin.

Menurut Nik Hasnah, Hasnizam sempat menelefonnya semalam dan meminta didoakan supaya dapat melakukan terjunan dengan selamat.

"Ini kali kedua dia buat terjunan," katanya sambil menambah Hasnizam menyertai TUDM pada 2002 sebelum menyertai Paskau setahun lepas.

Menyifatkan Hasnizam sebagai seorang yang pendiam, Nik Hasnah berkata anak kedua daripada enam beradik itu mendirikan rumah tangga dengan Noraniza pada 31 Oktober lepas.

Sementara itu, bapa Hasnizam, Ab Wahid Saim, 52, reda dengan kejadian yang menimpa anaknya dan menganggap ajal maut boleh berlaku di mana-mana.

Ab Wahid, yang merupakan bekas tentera, berkata jenazah Hasnizam akan dikebumikan di sebelah pusara neneknya, Fatimah Buang, di Tanah Perkuburan Masjid Mampan, Simpang Lima, malam Isnin. - BERNAMA

26 Jul 2010


Naluri ibu benar belaka

PILU...Nik Hasnah mencium kain pemberian arwah anaknya, Hasnizan (gambar kecil) sambil diperhatikan anak bongsunya, Nurul Fatihah ketika di rumahnya, dekat Simpang Lima, Batu Pahat, Johor, semalam. 

BATU PAHAT: “Naluri keibuan saya pernah terlintas mengatakan anak saya mungkin akan ditimpa kemalangan, tetapi tidak sekali-kali menjangka ia menjadi kenyataan.

“Kini yang tinggal hanya kenangan dan hadiah terakhirnya berbentuk baju kurung serta wang RM100 untuk sambutan Aidilfitri yang diberikannya ketika menyambut hari lahir saya ke-47, 3 Mac lalu,” kata ibu pelatih Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Nik Hasnah Nik Yeh, 47.

Dia pitam seketika selepas diberitahu anak keduanya, Hasnizan Abdul Wahid, 27, meninggal dunia akibat parah selepas payung terjun digunakan tidak berfungsi dalam latihan terjunan di Terengganu, semalam.

Ibu enam anak itu, baru pulang daripada kelas mengaji al-Quran sebelum diberitahu berita berkenaan oleh anak bongsunya seolah-olah mengiakan segala kebimbangannya selama ini.

Nik Hasnah ketika ditemui berkata, sejak Allahyarham memberitahu dia ingin menyertai pasukan payung terjun tahun lalu, hatinya sentiasa berdebar-debar dan tidak tenteram.

Menurutnya, itu kali terakhir dia bertemu sebelum Hasnizan meneruskan latihan, namun anaknya yang melangsungkan perkahwinan pada 31 Oktober tahun lalu tidak pernah lupa menelefonnya setiap kali sebelum memulakan latihan.

Katanya, kali terakhir Hasnizan menghubunginya pada jam 9 malam kelmarin, apabila arwah memberitahu akan menjalani latihan dan meminta dia mendoakan keselamatannya ketika melakukan terjunan semalam.

JENAZAH pelatih Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Allahyarham Hasnizam Abdul wahid dibawa ke rumah ibu bapanya di Jalan Peserai Kecil, Batu Pahat, Johor untuk ahli keluarga menatap wajahnya buat kali terakhir sebelum disemadikan di Tanah perkuburan Islam Kampung Mampan, kira-kira jam 3.40 pagi tadi. Foto: Mustapha Ismail (27/07/10)

Sementara itu, bapa Allahyarham, Abdul Wahid Saim, 52, berkata dia menerima panggilan telefon kira-kira jam 3.30 petang semalam, ketika membaiki atap zink di rumah jirannya.

Katanya, seorang pegawai TUDM menghubungi telefon bimbitnya dan memberitahu supaya bersabar dan tidak terkejut dengan berita yang bakal disampaikan.

“Pegawai itu memberitahu ada kejadian tidak diingini berlaku di mana payung terjun arwah tidak terbuka dan terjatuh dari ketinggian 5,000 kaki.

“Pegawai berkenaan berkata, ketika kejadian Hasnizan dalam keadaan stabil, tetapi kritikal sebelum menerima panggilan kali kedua beberapa minit kemudian mengatakan dia meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan. Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini,” katanya.

Abang sulung mangsa, Indra Amirul Nizam, 27, berkata adiknya itu pernah mengajaknya ke Kuala Lumpur untuk melihat keadaannya di sana, tetapi tidak sempat berbuat demikian.

“Mak ada cakap arwah seorang pendiam dan suka menyendiri di rumah, tetapi dia suka melayan adik-beradik.

“Keluarga kami memilih kerjaya tentera kerana mengikut jejak datuk dan bapa sebelum diikuti Allahyarham,” katanya.

Menurutnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mampan, Simpang Lima di sini.

Difahamkan, Allahyarham Hasnizan menyertai Paskau sejak Julai tahun lalu selepas menyertai TUDM pada 2002.

Allahyarham melangsungkan perkahwinan dengan seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, namun belum dikurniakan zuriat.

myMetro
27 Jul 2010


Suami sempat hantar SMS terakhir

BATU PAHAT - "Jaga diri baik- baik, abang dah nak terjun dah ni."

Itu khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir yang dihantar oleh Laskar Udara Kanan, Hasnizam Ab. Wahid, 26, kepada isterinya, Noraniza Zakaria, 22, sebelum maut semasa menjalani latihan payung terjun di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Besut, Terengganu petang kelmarin.

Noraniza yang merupakan jururawat di hospital swasta di Kuala Lumpur berkata, dia menerima SMS itu kira-kira pukul 5 pagi hari kejadian.

Katanya, dia membalas SMS itu dengan meminta suaminya berhati-hati dan melakukan latihan terjunan itu sebaik mungkin.

"Saya tidak pernah menyangka itu adalah pesanan terakhirnya. Saya reda meskipun tak sampai setahun kahwin, abang telah pergi tinggalkan saya," katanya ketika ditemui di rumah keluarga arwah suaminya di Simpang Lima di sini semalam.

28 Jul 2010


Mahu raya sedondon

BATU PAHAT: “Kami baru saja berkahwin 31 Oktober lalu, tetapi kesibukan kerjaya menyebabkan kami sukar menjalani kehidupan seperti pasangan suami isteri,” kata Noraniza Zakaria, 22, balu Laskar Udara Kanan Hasnizam Abdul Wahid, 26, yang terbunuh ketika latihan, kelmarin.

Noraniza yang juga seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur berkata, keadaan itu menyebabkan mereka hanya bertemu seminggu sekali dan berhubung menerusi telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) setiap hari.

“SMS terakhir dihantar Allahyarham berbunyi ‘Mama jaga diri baik-baik, papa dah nak terjun’ pada jam 5 pagi kelmarin sebelum dia menjalani latihan yang meragut nyawanya,” katanya.

Menurutnya, walaupun sibuk ia tidak mematahkan semangat Allahyarham untuk merancang kejutan untuknya.

“Saya baru diberitahu, Allahyarham ingin melihat saya, ibu mentua, Nik Hasnah Nik Yeh, 47, serta dua adik perempuannya, Siti Norhajar, 17, dan Nurul Fatiha,11, berpakaian sedondon ketika menyambut Aidilfitri buat kali pertama sebagai keluarga, tidak lama lagi kerana kami menjadi pasangan suami isteri seminggu selepas perayaan itu tahun lalu.

“Itu yang membuat saya terkilan sangat...kerana kami sekeluarga tidak sempat menunaikan hasrat Allahyarham sedangkan semua persiapan sudah dilakukan termasuk membeli kain empat pasang baju kurung.

“Hasrat Allahyarham dan persiapan termasuk pemberian wang kepada ibunya dilakukan tanpa pengetahuan saya,” katanya sebak ketika menanti jenazah suaminya di rumah mentuanya di Simpang Lima di sini, awal pagi semalam.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini, dia tidak melihat perubahan ketara pada Allahyarham kecuali tidak mencuci dulu baju terjunan selepas selesai latihan.

“Biasanya Allahyarham mencuci dulu baju terjunan setiap kali selepas digunakan, namun kelmarin walaupun ada kesan darah bukan miliknya di baju itu, arwah membiarkannya.

“Saya tidak menyangka kesan darah itu petanda awal kejadian malang bakal berlaku. Saya reda dan yakin Allah lebih sayangkannya,” katanya.

Sementara itu, saudara-mara, rakan serta kira-kira 300 anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) dari Rejimen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menaiki tiga bas berkumpul di rumah ibu bapa Allahyarham di Jalan Peserai Kecil, Simpang Lima, di sini, bagi memberi penghormatan terakhir terhadapnya.

Jenazah tiba di rumah pada jam 1.50 pagi sebelum disembahyang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mampam, Simpang Lima jam 3.40 pagi.

Allahyarham Hasnizam, anggota Paskau TUDM Bukit Jugra, Banting, Selangor terbunuh selepas payung terjunnya gagal berfungsi ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari, Allahyarham yang melakukan terjunan dari pesawat pengangkut Caribou C-130 pada ketinggian 1,200 meter dari paras laut, terhempas di kawasan lapang, kira-kira 100 meter dari kuarters pegawai pangkalan berkenaan.

Seorang lagi anggota Paskau, Laskar Udara Kanan Mohd Eddy Effendy, 22, cedera ringan selepas mendarat di atas bumbung blok kediaman pangkalan itu.

myMetro
28 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment