July 5, 2010

4 termasuk 3 beranak maut kemalangan

BAHAGIAN depan kereta kancil dipandu Zambery remuk dalam kemalangan di Jalan Pantai Kamloom-Bumbung Lima, Kepala Batas, semalam.

KEPALA BATAS 4 Julai - Empat termasuk tiga beranak terbunuh manakala tiga lagi parah apabila dua buah kereta bertembung sesama sendiri di Jalan Pantai Kamloom-Bumbung Lima, di sini malam tadi.

Kemalangan berlaku pada pukul 8.45 malam itu melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil dan Nissan Sentra.

Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta Perodua Kancil, Zambery Che Mey, 36, dan dua anaknya, Mohd. Firdaus, 5, dan Mohd Faiz Akmal, 9.

Seorang lagi ialah anak saudara Zambery, Mohamad Nur Hidayat Mohd Rozi, 14.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mat Nor berkata, Zambery meninggal dunia di tempat kejadian setelah tersepit di bahagian depan kereta tersebut.

Beliau berkata, Mohd. Firdaus dan Mohamad Nur Hidayat meninggal dunia di Hospital Kepala Batas (HKB) manakala Faiz Akmal pula di Hospital Seberang Jaya

"Dua penumpang lagi, Mohd. Nizamuddin Mohd. Nazri, 14, dan Mohd. Fakrul Ikhwan Zambery, 7, cedera parah dan kini dirawat masing-masing di HKB dan Hospital Pulau Pinang," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pemandu kereta Nissan Sentra, Zulkifli Fadzil, 22, dari Kampung Permatang Tinggi, Bakar Bata di sini turut cedera parah di bahagian tangan dan kaki serta kini dirawat di HKB.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu Zulkifli cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal semasa menuju ke Bumbung Lima dari Pantai Kamloon sebelum bertembung dengan kereta Zambery.

"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua kereta remuk. Anggota pasukan bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan semua mayat di dalam kereta itu," katanya.

Sementara itu, isteri Zambery, Umi Kalsum Salleh, 35, ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini berkata, dia seakan tidak percaya dengan berita yang menimpa keluarganya tersebut.

Katanya, ini kerana dia baru sahaja melihat semua mereka keluar dari rumah untuk ke sebuah kedai makan, kira-kira pukul 8 malam.

"Suami hanya memberitahu mahu pergi keluar makan dengan menaiki kereta terbabit bersama mereka di sebuah kedai makan di Paya Keladi," ujarnya.

Beliau berkata, jenazah semua yang terkorban telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lahar Ikan Mati, Kepala Batas di sini, pukul 11 pagi.

Utusan Online
4 Jul 2010


4 maut ketika keluar makan

KEPALA BATAS - Hasrat sebuah keluarga untuk makan malam tidak kesampaian apabila empat daripada mereka terbunuh dalam kemalangan ngeri di Jalan Pantai Kemelun - Bumbung Lima di sini kelmarin.

Dalam kemalangan pukul 8.45 malam itu, kereta Perodua Kancil dipandu Zambery Che Mey, 36, dari Kampung Jambatan Merdeka, Bumbung Lima bertembung dengan sebuah kereta Nissan Sunny menyebabkan dia maut di tempat kejadian.

Dua anak Zambery iaitu Mohd. Faiz Akmal, 9, meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) manakala Mohd. Firdaus, 5, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kepala Batas (HKB).

Seorang lagi mangsa yang juga anak saudara Zambery, Mohamad Nur Hidayat Mohd. Rozi, 14, meninggal dunia di HKB.

Kosmo Online
5 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment