June 19, 2010

Dua wanita hamil nyaris maut

SEBUAH ambulan yang dalam perjalanan ke Hospital Tawau, Sabah terbakar selepas bertembung sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Takada, jam 1.30 tengah hari tadi. Tindakan pantas orang ramai membantu menyelamatkan dua wanita berusia 29 dan 32 tahun yang sedang sarat megandung. Ketika kejadian, ambulans terbabit turut membawa dua jururawat dan seorang ahli keluarga pesakit tetapi semuanya terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. (18/06/10) myMetro


KOTA KINABALU: Dua wanita kesakitan mahu melahirkan anak nyaris maut apabila ambulans membawa mereka ke hospital bertembung sebuah kereta ketika melintasi persimpangan lampu isyarat di Takada, Tawau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, ambulans dari Kunak menuju Hospital Tawau dan setibanya di tempat kejadian, sebuah Perodua Kancil tidak menyedari bunyi siren dirempuh ambulans terbabit sebelum terbakar.

Bagaimanapun, tindakan pantas orang ramai membantu mengeluarkan wanita masing-masing berusia 29 dan 32 tahun itu berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung.

Ketika kejadian, ambulans terbabit turut membawa dua jururawat dan seorang ahli keluarga pesakit tetapi semua mereka terselamat dan hanya cedera ringan.

Penyelia Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah cawangan Tawau, Zulkifli Sarry berkata, kereta Kancil berkenaan dipandu seorang lelaki bersama anaknya berusia tujuh tahun dipercayai dari arah Hotel Promenade menuju ke bandar.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Kancil yang pada mulanya memberhentikan kenderaannya berikutan lampu isyarat merah mula bergerak selepas ia bertukar hijau.

“Namun, kereta terbabit dipercayai tidak mendengar siren lalu dirempuh ambulans berkenaan yang dalam perjalanan ke hospital dengan membawa dua wanita yang mahu bersalin,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan itu dibantu orang ramai dan sempat keluar menyelamatkan diri sebelum ambulans berkenaan mula terbakar dan meletup.

“Tiada kecederaan serius dilaporkan melainkan seorang kanak-kanak yang berada di dalam kereta Kancil terbabit mengalami kecederaan ringan manakala kedua-dua wanita yang mahu melahirkan anak itu dikejarkan ke hospital oleh orang awam yang melalui jalan berkenaan,” katanya.

myMetro
18 Jun 2010

0 comments:

Post a Comment