May 30, 2010

Tiga Beranak Maut Dalam Kemalangan

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Tiga beranak maut, manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 72, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Rawang, Ahad.

Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, pemandu kereta, Mohamad Effendy Hamim, 32, dan isterinya, Norbaya Musa, 32, mati di tempat kejadian, sementara anak lelaki bongsu pasangan itu, Mohd Harith Iskandar, 6, meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB).

Seorang lagi anak lelaki pasangan itu, Mohamad Hakim Iskandar, 7, cedera parah di bahagian perut dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala adik bongsu Norbaya, Nornabila Musa, 12, patah kaki kiri dan kini dirawat di Hospital Selayang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Yahya Affendi berkata keluarga itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari Ipoh ke Gombak sebelum bertembung dengan sebuah lori jenis Isuzu dari arah bertentangan.

Katanya pemandu lori berusia 29 tahun bersama dua lagi rakannya, masing-masing berusia 28 dan 17 tahun mengalami cedera ringan.

"Kemalangan berlaku di kawasan selekoh dalam keadaan gerimis dan cuaca berkabus. Ada kemungkinan lori itu hilang kawalan sebelum terbabas lalu bertembung dengan kereta mangsa," katanya kepada Bernama.

Norel Azmi berkata punca sebenar kemalangan sedang disiasat, namun tidak menolak kemungkinan faktor jalan licin berikutan hujan pada awal pagi.

30 Mei 2010


Tiga beranak maut kemalangan

Nornabila yang patah kaki kiri dirawat di Hospital Selayang semalam.

HULU SELANGOR - Hasrat lima sekeluarga yang terlalu seronok berkumpul bersama keluarga menjadi petanda buruk apabila tiga daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 72, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur - Ipoh berhampiran Masjid Kalumpang dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2 pagi, tiga mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta Perodua Myvi, Mohamad Efendy Hamim, 32, isterinya Norhaya Musa, 32, dan seorang anak mereka, Mohd. Harith Iskandar Mohamad Efendy, 6.

Dua lagi mangsa yang cedera parah ialah seorang lagi anak pasangan itu, Mohamad Hakim Iskandar Mohamad Efendy, 7, dan adik Norhaya iaitu Nornabila Musa, 12.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Hussain Che Omar berkata, semasa kejadian lima sekeluarga itu yang menaiki kereta Myvi dalam perjalanan pulang semula ke ibu negara selepas berjumpa dengan keluarga di Tanjung Malim, Perak.

Bagaimanapun, menurut beliau, ketika dalam perjalanan kereta tersebut bertembung dengan sebuah lori Isuzu.

Ketika kemalangan kawasan itu hujan dan keadaan berkabus.

"Lori Isuzu dari arah Batang Kali menghala ke Sungai Besar hilang kawalan lalu merempuh bahagian depan kereta yang dinaiki lima mangsa," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, rempuhan kuat itu menyebabkan dua mangsa iaitu Efendy dan Norhaya mati di tempat kejadian.

"Harith meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu," kata beliau.

Kata beliau, Hakim Iskandar yang cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur manakala Nornabila yang patah kaki kiri dihantar ke Hospital Selayang.

Che Hussain memberitahu, pemandu lori bersama dua orang penumpang hanya mengalami kecederaan ringan.

Kosmo Online
31 Mei 2010

0 comments:

Post a Comment