May 30, 2010

Pemandu Lori Buta Sebelah Mata Mohon Bantuan

ALOR SETAR, 30 Mei (Bernama) -- "Setiap kali hujan atau angin kencang, kami terpaksa berlari untuk berlindung di rumah emak mentua demi keselamatan anak-anak saya.

Bumbung rumah berlubang dimasuki air setiap kali hujan. Apabila angin kencang pula, rumah usang yang kami diami bergoyang," rintih suri rumah Nor Hashimah Awang, 43.

Suri rumah itu berkata suaminya, Mohd Nasir Halim, 39, buta sebelah mata kanannya sejak lahir dan bekerja sebagai pemandu lori kedua atas ihsan rakannya dengan pendapatan tidak tetap.

"Dengan pendapatan purata RM400 sebulan, kami tidak mampu membina atau membaiki rumah yang hampir roboh ini," kata Mohd Nasir semasa ditemui di Kampung Alor Binjal, Mukim Tajar, dekat sini, pada Ahad.

Mereka mempunyai tiga anak, dua daripadanya bersekolah dalam tingkatan satu dan seorang darjah empat manakala yang kecil berusia 18 bulan.

Menurut Mohd Nasir, beliau telah dua kali memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dan membina rumah dari Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sejak tahun lepas.

"Kali terakhir saya mohon ialah tiga bulan lepas tetapi sehingga hari ini tiada jawapan," katanya denga nada sedih.

Rintihan pasangan itu mendapat perhatian UMNO bahagian Alor Setar yang berjanji membantu mereka mendapatkan bantuan membina rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) KEDA dan kad OKU kepada Mohd Nasir.

Timbalan Ketua UMNO bahagian itu, Ir Mohd Guntor Tobeng Mansor Tobeng berkata beliau juga akan membawa masalah keluarga tersebut kepada UMNO bahagian, JKM dan KEDA untuk diambil tindakan.

"Saya sebak mendengar rintihan Nor Hashimah dan suaminya yang merayu bantuan membina rumah untuk mereka berteduh dari hujan dan ribut.

Kesusahan seperti itu seharusnya tidak lagi wujud pada zaman ini yang maju dan pesat membangun," kata Mohd Guntor Tobeng ketika melawat keluarga itu hari ini.

30 Mei 2010

0 comments:

Post a Comment