May 30, 2010

Anggota polis, dua anak terbunuh nahas di Gerik

GERIK: Tiga beranak terbunuh manakala dua lagi parah apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 14 Lebuh Raya Timur-Barat Gerik-Jeli, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Mahad Nor Abdullah, berkata yang terbunuh dalam kejadian jam 7.15 petang itu ialah pemandu kereta Mohd Zin Awang, 50, serta dua anak perempuanya Fazeera, 19, dan Fazreen, 13.

Beliau berkata isteri Mohd Zin, Fazalawati Addullah, 48, dan seorang lagi anak lelakinya Hashim, 4, mengalami cedera parah di kepala.

"Mohd Zain yang berpangkat Koperal dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perak bersama dua anaknya meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, dan mayat mereka dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, Fazalawati dan anak lelakinya Hashim yang mengalami cedera parah di kepala dirawat di Hospital Gerik, sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk rawatan lanjut.

Mahad Nor berkata kejadian berlaku semasa kesemua penumpang kereta Vios itu yang berasal dari dari Taman Ria, Sungai Petani, Kedah; sedang dalam perjalanan dari Gerik menuju ke Jeli, apabila ia dikatakan cuba memotong sebuah kereta di hadapanya tetapi gagal, mengakibatkan ia bertembung dengan sebuah bas persiaran dari arah bertentangan ketika hujan lebat.

Akibat kejadian kereta itu remuk di bahagian hadapan, dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Gerik terpaksa bertungkus lumus untuk membawa keluar semua penumpang yang tersepit dalam kereta itu.

Semua mayat sudah dituntut oleh keluarga awal pagi ini di Hospital Gerik sebelum dibawa balik kerumah mereka di Sungai Petani untuk dikebumikan.

Bas persiaran yang membawa 31 penumpang itu dikatakan dalam perjalanan ke arah Jeli selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kangar, Perlis, dan pemandu bersama 31 penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama

30 Mei 2010


Tiga beranak mati serentak


ANGKAT...anggota bomba dan polis mengangkat mangsa maut dalam kemalangan ngeri.

GERIK: Tiga beranak, termasuk pemandu, terbunuh dalam satu kemalangan ngeri apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas pesiaran, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam di Kilometer 14, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli itu, ketiga-tiga mangsa yang terbunuh ialah anggota polis berpangkat Koperal bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, Mohd Zin Awang, 50, serta dua anak perempuannya, Fazeera Mohd Zin, 19, dan Fazreen Mohd Zin, 13.

Dua lagi, iaitu isteri Mohd Zin, Fazilawati Abdullah, 48, dan anak lelaki mereka Nazim Mohd Zin, 9, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Gerik (HG) untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Mahad Nor Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Vios dipandu mangsa dari arah Jeli ke Gerik, hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum bertembung dengan bas persiaran.

Beliau berkata, seramai 31 penumpang bas persiaran yang juga kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) cawangan Kelantan bersama seorang pemandunya terselamat dalam kemalangan itu dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan ke Jeli, Kelantan selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di Kangar, Perlis.

“Siasatan awal mendapati semua mangsa yang maut cedera serius di kepala dan beberapa bahagian badan termasuk tersepit di tempat duduk kereta. “Anggota bomba dan penyelamat Gerik turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mahad Nor berkata, semua mayat sudah dituntut ahli keluarga mangsa awal pagi semalam di HG sebelum dibawa ke Sungai Petani, Kedah iaitu kediaman mangsa untuk dikebumikan.

Sementara itu di Ipoh, Fazilawati dan anak lelakinya, Nazim Mohd Zin yang berusia sembilan tahun, dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal berikutan kecederaan serius yang dialami mereka.

myMetro
31 Mei 2010

0 comments:

Post a Comment