April 28, 2010

Remaja naik angin terjun sungai terus hilang

BUTTERWORTH - Seorang remaja lelaki yang tidak tahu berenang, bertindak terjun ke dalam Sungai Perai selepas bertengkar dengan beberapa rakannya petang kelmarin.

Sehingga semalam, nasibnya masih belum diketahui kerana belum dapat dikesan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa dipercayai bersama beberapa rakan sedang melepak di bawah jambatan berdekatan Taman Bagan setelah pulang dari bandar.

Difahamkan, mangsa naik angin sejak berada di pusat bandar dengan memarahi rakannya hingga menyebabkan mereka bergegas pulang awal ke rumah masing-masing yang terletak di sekitar Taman Bagan.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mereka kemudian menuju ke bawah jambatan itu untuk menyelesaikan perselisihan faham agar tidak berlarutan.

“Mangsa dikatakan masih tidak berpuas hati dengan rakan-rakannya kerana dituduh gagal mengawal emosinya ketika bersiar-siar di bandar.

“Walaupun semua rakan memaafkannya dan cuba melupakan kejadian itu , mangsa dikatakan masih tidak dapat menerimanya menyebabkan tercetus semula pertengkaran hingga membawa tindakannya terjun ke dalam sungai kerana tidak berpuas hati,” katanya.

Sebaik terjun, mangsa yang dikatakan tidak pandai berenang terus tenggelam menyebabkan rakan-rakannya panik dan menghubungi polis.

Gerakan mencari dilancarkan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Butterworth dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Butterworth namun gagal ditemui.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asistan Komisioner Zulkifli Alias ketika dihubungi mengesahkan kehilangan remaja itu yang dikhuatiri lemas namun enggan mengulas punca kejadian itu kerana pihaknya masih menyiasat.

“Kita sedang bekerjasama dengan JPAM dan bomba untuk mencari mangsa tetapi sehingga kini belum ditemui.

“Polis juga akan merakam keterangan daripada rakannya terlebih dahulu bagi mendapat gambaran jelas tentang kejadian itu sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut,” katanya.

Gerakan mencari mangsa dihentikan lewat malam kelmarin dan disambung pagi semalam namun sehingga berita ini ditulis, mangsa masih gagal ditemui.

Sinar Harian
28 April 2010

0 comments:

Post a Comment