April 30, 2010

Penoreh kecewa bantuan ditarik


MERBAU MENYUSUT– Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib seorang penoreh getah, Othman Mohamad, 42, yang hilang tempat bergantung apabila bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima bermula sejak Oktober tahun lalu dipercayai akibat aduan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Merbau Menyusut.

Othman yang turut mengalami strok selama ini amat bergantung kepada bantuan bulanan JKM sebanyak RM450 untuk menampung perbelanjaan enam anaknya namun bulan ini bantuan itu tidak lagi diterima.

Kata Othman, bantuan yang diterima sejak setahun lalu diperoleh melalui sokongan JKKK berkenaan yang didakwa membuat aduan kepada JKM bahawa dia menyalahgunakan wang bantuan tersebut.

“Saya terkejut apabila JKM mengambil balik kad penerima wang bantuan semasa ingin mengambil wang bantuan anak bagi bulan ini,” katanya.

Menurut pegawai bertugas, mereka terpaksa menghentikan bantuan kerana ada aduan daripada JKKK bahawa dia menyalahgunakan wang bantuan bagi tujuan lain dan mengabaikan keperluan anak.

“Saya pulang dengan kecewa dan mendapatkan pengerusi JKKK, namun dia bersumpah dan menafikan membuat aduan tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini, semalam.

Kata Othman, dapurnya kini tidak lagi berasap manakala empat daripada enam anaknya terpaksa ke sekolah tanpa membawa wang belanja.

Lebih menyedihkan, katanya, keperluan isterinya, Siti Hajar Ahmad, 35, yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak keenam 12 hari lalu juga tidak dapat disediakan.

“Kami kadang-kadang makan pun tidak cukup macam mana saya hendak salahgunakan wang bantuan ini dan saya merayu JKM dapat menyiasat semula kes ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JKM daerah, Emilia Sumiyati Embong ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan pihaknya telah menarik balik bantuan Othman selepas menerima aduan daripada pihak JKKK dan penduduk kampung.

Bagaimanapun, Pengerusi JKKK Merbau Menyusut, Abdullah Mat Amin, 62, ketika ditemui menafikan membuat sebarang aduan kepada JKM, namun tidak menolak kemungkinan ada ahli JKKK bertindak demikian tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Othman berharap JKM dapat menyambung kembali bantuan yang diberikan memandangkan kesihatannya semakin uzur dan tidak dapat bekerja sepenuhnya untuk menampung keperluan keluarga.

“Saya terkilan sebab JKM menerima bulat-bulat aduan ahli JKKK tanpa merujuk kepada Pengerusi JKKK sehingga menyebabkan saya sekeluarga teraniaya,” katanya.

Sinar Harian
30 April 2010

0 comments:

Post a Comment