April 24, 2010

Pembuat kek mati dipercayai dibunuh suami


MAYAT seorang wanita, ibu kepada tiga orang anak dijumpai mati dipercayai ditikam oleh suaminya sendiri di ruang tamu rumahnya di Blok C, Flat Larkin, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU - Entah apa dosanya, seorang pembuat kek yang juga ibu kepada tiga anak ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di dadanya dipercayai akibat ditikam oleh suaminya di Blok C, Flat Larkin, di sini hari ini.

Mangsa, Ahzila Mohamad Sufian, 23, ditemui oleh polis dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya kira-kira pukul 2 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Zainal Baharom berkata, sebelum itu, ibu mangsa telah datang ke balai polis untuk memaklumkan tentang pergaduhan antara mangsa dan menantunya.

"Bertindak atas laporan tersebut sepasukan anggota polis telah bergegas ke tempat kejadian tetapi mendapati pintu rumah mangsa berkunci.

"Kami terpaksa memecahkan pintu sebelum menemui mangsa dengan kesan tikaman di dada di ruang tamu," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Zainal berkata, pihak polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Beliau memberitahu, polis kini sedang giat memburu suami mangsa berusia 30 tahun yang juga merupakan seorang peniaga.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, ibu mangsa, Zainon Abdul Kadir, 59, berkata, ketika kejadian berkenaan, anak mangsa berusia antara tiga dan lima tahun datang ke rumahnya yang terletak di tingkat 10 blok sama.

"Mereka yang tinggal di tingkat 12 datang ke rumah saya kira-kira pukul 2 pagi... Saya sedang tidur apabila terdengar pintu rumah diketuk dan apabila dibuka didapati ketiga-tiga anak mangsa berada di luar rumah tanpa kelibat ibu bapanya.

"Kemudian saya menyuruh mereka masuk ke rumah dan apabila bangun dari tidur, mereka bercerita tentang pergaduhan antara ibu dan bapa mereka," katanya.

Zainon berkata, anak dan suaminya sememangnya mempunyai masalah rumah tangga tetapi dia sendiri tidak pasti masalah sebenar mereka.

Utusan Online
24 April 2010


Polis tahan suami Ahzila

JOHOR BAHRU 25 April - Polis hari ini berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai menghilangkan diri selepas membunuh isterinya di Blok C, Flat Larkin, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika mengesahkan perkara itu berkata, lelaki tersebut ditahan di rumah saudaranya di Kota Tinggi, kira-kira pukul 6 petang.

Semalam, Ahzila Mohamad Sufian, 23, yang merupakan ibu kepada tiga anak ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di dadanya dipercayai akibat ditikam oleh suaminya.

Mangsa yang juga pembuat kek ditemui oleh polis dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya kira-kira pukul 2 petang.

Sebelum kejadian, mangsa dan suaminya yang berusia 30 tahun dipercayai bergaduh.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke rumah mangsa mendapati ia tidak berpenghuni dengan pintunya berkunci.

Kunjungan ke rumah ibu mangsa, Zainon Abdul Kadir di tingkat 10 blok yang sama pula disambut oleh seorang lelaki yang enggan dikenali.

Lelaki itu memaklumkan ibu mangsa keluar untuk membeli barang bagi persiapan untuk majlis tahlil pada malam ini.

Utusan Online
26 April 2010


'Arwah pernah beritahu mahu mohon cerai'

JOHOR BAHRU: Mangsa tikam yang ditemui maut di dapur rumahnya di tingkat 12, Flet Larkin di sini, awal pagi kelmarin, pernah menyatakan hasrat untuk memohon cerai kepada ibunya selepas dikatakan tidak dapat lagi hidup bersama suaminya yang juga pembuat roti canai di Kota Tinggi.

Allahyarham Ahzila Mohamad Sufian, 23, dikatakan mempunyai masalah rumah tangga dan meminta cerai daripada suaminya berusia 30 tahun, sebelum bertengkar dan disyaki ditikam suaminya, awal pagi kelmarin.

Ibu Allahyarham, Zainon Abdul Kadir, 59, berkata Allahyarham pernah menyatakan hasratnya untuk bercerai dengan suaminya kerana mendakwa mereka mempunyai masalah rumah tangga. Menurut Zainon, sebelum ini pasangan berkenaan tidak mempunyai masalah, namun sebagai orang luar mereka tidak tahu apa-apa dan enggan campur tangan dalam urusan keluarga anak perempuannya itu.

myMetro
26 April 2010


Mohd. Rizal dituduh bunuh isteri

JOHOR BAHRU 6 Mei - Setelah 13 hari kematian seorang pembuat kek yang ditemui dengan kesan tikaman di dadanya, hari ini suami wanita itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh.

Mohd. Rizal Esa, 30, didakwa membunuh Ahzila Mohamad Sufian, 23, di rumah bernombor 214, Tingkat 12 Blok C, Rumah Pangsa Larkin di sini antara pukul 1.30 dan 3 pagi, 24 April lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Majistret Norshahid Abd. Malik menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Memetik laporan akhbar sebelum ini, Ahzila yang merupakan ibu kepada tiga anak ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di dadanya dipercayai akibat perbuatan suaminya.

Mayat mangsa ditemui oleh polis dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya kira-kira pukul 2 petang.

Lelaki itu yang menghilangkan diri selepas kejadian tersebut berjaya diberkas polis kira-kira pukul 6 petang sehari kemudiannya di Kota Tinggi.

Utusan Online
7 Mei 2010


Suami membunuh dipenjara 15 tahun

REAKSI Mohd. Rizal selepas dijatuhi hukuman penjara 15 tahun di Mahkamah Tinggi Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang penjual roti canai dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana menyebabkan kematian isterinya dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abd. Halim Aman memerintahkan Mohd. Rizal Esa, 32, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap pada 25 April 2010 selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Sebaik keputusan selesai dibacakan pada pukul 10.45 pagi, Mohd. Rizal dilihat menangis dan berpelukan dengan ahli keluarganya yang menunggu di mahkamah.

Dia juga dilihat beberapa kali mengucapkan syukur.

Mohd. Rizal yang diwakili peguam John Fernandez sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Rizal didakwa membunuh isterinya, Ahzila Mohamad Sufian, 25, yang merupakan seorang pekerja sebuah kedai kek di Nombor 214, Tingkat 12, Blok C, Rumah Pangsa Larkin di sini antara pukul 1.30 dan 3 pagi 24 April 2010.

Tertuduh dikatakan menikam Ahzila dengan pisau sehingga menyebabkan mangsa patah tulang rusuk manakala pisau itu pula menembusi ke belakang mangsa. Kejadian itu berlaku ekoran salah faham dalam keluarga itu.

Sebanyak 19 orang saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Kosmo 29 Jun 2012

3 comments:

  1. yg dibunuh ni kawan sek rendah aku... huuuu sedih... alfatihah...

    ReplyDelete
  2. Memang sedih. Anak-anak arwah kecik-kecik lagi. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Alfatihah.

    ReplyDelete