April 28, 2010

“Janji nak beli barang rumah, tapi tak sempat”

KOTA BHARU - “Saya ada berjanji dengan isteri hendak pergi ke Wakaf Zin (Bachok) untuk membeli barang keperluan dapur, tetapi saya terkejut dimaklumkan dia (arwah) kemalangan,” kata suami mangsa, Abdul Rahim Ismail, 54.

Isterinya, Rokiah Ismail, 52, maut dalam kemalangan motosikal yang ditungganginya sendiri semasa dalam perjalanan pulang menghantar makanan kepada kanak-kanak Pasti Kampung Pohon Tanjung, Perupok, jam 9.30 pagi semalam.

“Dia sudah lama mengambil upah sambil membantu pihak Pasti memasak makanan termasuk nasi dan kuih-muih.

“Sebelum ini, dia tidak menunjukkan sebarang tanda pelik tetapi dalam tempoh seminggu lalu, dia mengatakan dia mengantuk dan kerap kali saya nampak dia tidur,” katanya kepada :Sinar Harian: semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini, semalam.

Abdul Rahim yang juga seorang nelayan hanya memperoleh pendapatan purata RM450 sebulan bangga dengan kegigihan arwah isterinya yang sukarela mengambil upah memasak di Pasti berkenaan.

Menurutnya, sebaik sahaja dikhabarkan isterinya maut kemalangan, dia tidak sanggup melihat keadaan isterinya di tempat kejadian.

“Arwah adalah isteri yang baik, peramah dan rajin bekerja malahan setiap hari dia bertanggung jawab menghantar dan mengambil anak dengan motosikal,” katanya.

Katanya, enam daripada 11 anaknya masih bersekolah dan dia kini terpaksa menjaga anak-anak mereka dengan pendapatan tidak seberapa dan kematian isteri sebagai satu kehilangan besar dalam keluarga mereka.

Sinar Harian dimaklumkan, arwah juga tidak sempat melihat perkahwinan anak lelakinya yang akan berkahwin pada 13 Jun nanti.

Sinar Harian
28 April 2010

0 comments:

Post a Comment