April 30, 2010

Hajat minum kopi tidak kesampaian


ALOR SETAR- Hajat untuk menikmati minum petang bersama suami tidak kesampaian apabila seorang wanita maut dirempuh lori membawa pasir dan batu ketika hendak melintas jalan selepas pulang dari kedai berhampiran rumahnya, di Kampung Tanjung Bendahara di sini, lewat petang kelmarin.

Mangsa, Hasnah Shaari, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badannya.

Cucu, Che Yum Tahar, 46, berkata, sebelum kejadian datuknya, Saad Morad, 84, memberi wang RM3 kepada mangsa pergi ke kedai untuk membeli rokok daun dan dua bungkus kopi ‘O’ untuk juadah minum petang.

Menurutnya, datuknya tidak pergi sendiri ke kedai kerana kebetulan menghadapi masalah pendengaran dan sakit kaki.

“Nenek pergi membeli semua barang yang diminta datuk malah dalam perjalanan pulang, dia sempat mengambil buah mangga dalam bungkusan yang diberikan jiran sekampung sebelum berhenti di tepi jalan untuk melintas pulang ke rumah,” katanya.

Mangsa mendirikan rumah tangga bersama Saad lebih setahun lalu selepas kematian isteri Saad dan tidak dikurniakan anak.

Saksi kejadian, Elias Ramli, 30, yang juga anak saudara mangsa berkata, masa kejadian dia ternampak ibu saudaranya dirempuh sebuah lori membawa muatan pasir dan batu selepas kenderaan itu cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal dari arah bertentangan di selekoh tajam itu.

Menurutnya, dalam sekelip mata lori itu hilang kawalan lalu merempuh ibu saudaranya yang berada di tepi jalan yang ketika itu masih menunggu masa untuk melintas pulang ke rumah.

“Selekoh ini memang bahaya dan beberapa kali berlaku kemalangan yang meragut nyawa, dan penduduk kesal kerana permintaan supaya pihak berkuasa meletakkan papan tanda amaran berhati-hati ketika melalui jalan itu tidak mendapat maklum balas.

“Saya harap selepas ini pihak berkuasa dapat bertindak segera kerana ia penting bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, pemandu lori itu kini ditahan untuk membantu siasatan selain lori yang dipandunya juga ditahan dan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
30 April 2010

0 comments:

Post a Comment